Bertan-tan emas tersembunyi ( MALAYSIA )
Geseran kerak bumi
adalah antara pencetus fenomena gold rush. Ia boleh berlaku di pelbagai lokasi pada bila-bila masa
kerana proses pemineralan sentiasa aktif.
Pagi Rabu itu, Sulaiman Tujuling, 76, pantas
menghirup kopi O panas bersama isterinya, Halimah Amri, 73. Usai mengalas
perut, pasangan tersebut mencapai kuali dan peralatan lain untuk ke pantai.
Mungkin janggal jika diperhatikan pada kelengkapan yang digalas dengan
destinasi yang hendak dituju.
Apa yang menanti mereka di Kampung Sri Pantai,
Mersing, Johor sebenarnya jauh menandingi keseronokan bermandi-manda. Pasangan
ini hendak mendulang emas!
Cubaan pertama mendulang di lokasi baru itu
bukan sahaja mencatat sejarah tersendiri bagi Sulaiman dan Halimah, malah
'pesta mendulang' di situ sudah bermula mendahului sarapan mereka tadi.
SEBAHAGIAN daripada
‘kegilaan’ mendulang emas di Kampung Sri Pantai, Mersing, Johor yang dirakamkan
dua tahun lalu.
"Saya mendulang sejak tahun 1957 tetapi ini
kali pertama kami mendapat emas yang banyak. Biasanya kami mendulang di Teluk
Iskandar tetapi tak sangka, percubaan kami di tempat baru ini dianugerahkan
rezeki yang melimpah ruah.
"Seharian di pantai, kami memperoleh
kira-kira 12 gram emas dan apabila dijual, kami mendapat RM800," katanya.
Kisah 'durian runtuh' Sulaiman dan isterinya
pantas tersebar ke seluruh negara dan menarik minat luar biasa orang ramai
untuk datang mendulang di situ.
Buktinya, jika sebelum ini nama Kampung Sri
Pantai hanya terkenal di kalangan penduduk setempat, kini masyarakat luar bukan
sahaja bercerita malah berpusu-pusu ke kawasan tersebut untuk mendulang emas.
Bagi suri rumah, Halimah Sidin, 56, dia sanggup
datang dari Minyak Beku, Batu Pahat untuk bersama ribuan pendulang lain mencuba
nasib.
"Saya datang bersama seorang anak dan dua
cucu. Kami membawa tiga kuali dari rumah dan sanggup berembun mendulang dimulai
tengah malam sehingga air pasang keesokannya.
"Ini kali pertama saya datang mendulang.
Semalam saya cuma dapat beberapa gram, itu yang membuatkan kami berkhemah di
sini dan terus mendulang dengan harapan untuk dapat lebih banyak emas,"
katanya.
Biarpun fenomena emas 'timbul' jarang berlaku
dan hasil yang dijanjikan tidak menentu, ia tidak melemahkan semangat orang
ramai untuk turun mendulang di situ.
|
EMAS
sentiasa dalam senarai teratas komoditi yang mahu dimiliki manusia kerana
nilainya tinggi dan kalis inflasi.
|
Menjelang hujung minggu, keadaan lebih meriah
malah ramai yang sanggup mendirikan khemah dan menjadikan kenderaan sebagai tempat
untuk melelapkan mata setelah seharian mendulang emas.
Sekalipun sudah hampir dua tahun berlalu, pesta
mendulang di Mersing mungkin akan berlaku lagi selepas ini tetapi kali ini
lokasinya belum dapat dipastikan.
Menurut Ketua Pengarah
Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Yunus Abdul Razak, kejadian yang
dikenali sebagai gold rush itu boleh berlaku pada bila-bila masa dan
lokasinya juga pelbagai kerana proses pemineralan boleh berlaku di mana-mana.
"Sebelum ini gold rush juga pernah dilaporkan di Lubuk Mandi, Rusila, Marang, Setiu dan
Mersing. Emas yang ditemui itu terhasil daripada geseran yang berlaku di kerak
bumi menyebabkan emas yang selama ini 'tersimpan' terangkat ke permukaan
bumi," katanya.
Yunus memberitahu, kejadian yang membuka peluang
kepada ribuan pendulang itu bagaimanapun tidak sesuai untuk dijadikan lokasi
perlombongan sistematik.
"Atas ihsan
kerajaan negeri, orang ramai boleh mendulang sehingga JMG mengeluarkan arahan
pemberhentian atas faktor keselamatan," kata beliau yang ditemui Jurnal baru-baru ini.
Bekalan
belum susut
Ramai beranggapan aktiviti perlombongan tidak
lagi produktif dan tumpuan masa kini lebih terarah kepada sektor industri
pembuatan, bioteknologi dan pertanian.
BERDASARKAN statistik
tahun 2007, pengeluaran emas di Kelantan adalah sebanyak 80,151 gram (g),
sementara di Pahang pula berjumlah 2,832,489g.
Bagi sesetengah orang, mereka percaya bekalan
emas negara semakin menyusut dan aktiviti melombong sudah tidak relevan lagi.
Bagaimanapun, tanggapan
itu kurang tepat. Kandungan logam kuning berkilauan tersebut masih ada. Malah
menurut Buku Laporan Mineral
Malaysia 2007, bekalan rizab emas
semasa dalam negara ialah 106 juta tan metrik.
"Namun, angka tepat mengenai bekalan emas
tidak dapat dinyatakan kerana ia bergantung kepada pengeluaran dan penemuan
terbaru emas.
"Setiap kali cari gali berjaya menemukan
emas, angka pastinya bertambah, tetapi apabila ia dikeluarkan, angka akan
menyusut. Trend tolak tambah inilah yang mempengaruhi berapa banyak emas yang
kita ada," katanya.
Tambah Yunus, walaupun pengeluarannya
menunjukkan trend penurunan dari tahun ke tahun, keadaan ini masih mampu
memberi pulangan kepada syarikat perlombongan.
"Pada tahun 2006, sebanyak 3.49 tan metrik
telah dikeluarkan dan pada tahun 2007, jumlah menurun kepada 2.91 tan. Bagi
tahun 2008, dianggarkan 2.75 tan telah dihasilkan," katanya yang
menyatakan bahawa lombong emas boleh digali berulang kali bagi mendapatkan
emas.
Dengan menggunakan teknik leburan atau semburan
air, pelombong sudah boleh mengeluarkan butiran atau serbuk emas yang satu masa
dulu tidak dapat dikeluarkan.
"Secara tidak langsung, lombong yang sudah
dikenal pasti lokasi cari gali emas boleh diterokai semula bagi mendapatkan
logam emas," jelas beliau.
RIBUAN manusia
bertumpu ke Lubuk Mandi, Marang, Terengganu untuk mengintai peluang mendulang
emas ketika berita penemuan logam berharga itu mula tersebar pada tahun 1988.
Terdapat 11 lombong emas yang masih aktif
beroperasi di Malaysia. Yunus memberitahu, lombong Penjom di Kuala Lipis antara
yang paling aktif di mana ia mampu mengeluarkan 95 peratus daripada hasil emas
negara.
"Ada lima lombong yang beroperasi di
Kelantan dan enam beroperasi di Pahang. Setiap tahun, bilangan lombong ini
tidak tetap dan boleh kurang atau bertambah, bergantung kepada kos melombong,
harga emas dan permintaan.
"Sungguhpun negara mampu mengeluarkan lebih
daripada dua juta tan setahun, ia jauh daripada mencukupi bagi menampung
keperluan dalam negara," tambah Yunus.
Keselamatan
ketika melombong
Baru-baru ini, penduduk Kampung Bukit Koman,
Raub, Pahang gagal mendapatkan kebenaran bagi semakan penghakiman untuk
menghentikan projek melombong emas di kampung tersebut yang bermula pada
Februari tahun ini.
Sebelum itu, mereka mendakwa ada penduduk yang
mengalami masalah kesihatan berpunca daripada penggunaan bahan kimia sianida di
projek lombong emas berkenaan.
|
FENOMENA gold rush turut menarik minat
Halimah Sidin, 56, untuk mendulang emas di Kampung Sri Pantai, Mersing,
Johor, dua tahun lalu.
|
Mengupas isu keselamatan di lombong emas dan
kawasan persekitaran, Yunus memberitahu, aspek tersebut tidak dipernah
dipandang remeh.
"Teknik dan cara perlombongan yang
dilakukan di Malaysia merupakan cara galian terbaik yang turut dipraktikkan di
negara-negara lain. Malah, bagi memastikan syarikat mematuhi piawaian itu,
pemeriksaan berkala akan dijalankan ke setiap lombong," terang beliau.
Bahkan, untuk melahirkan industri perlombongan
mapan, pengusaha lombong diarahkan untuk membuat pemantauan sendiri di mana
mereka perlu mengambil contoh air, asap, tanah dan sebagainya untuk diuji serta
dianalisis di makmal. JMG juga akan menjalankan rutin yang sama terhadap
lombong tersebut.
"Daripada keputusan yang dikemukakan pihak
pelombong dan keputusan yang kita peroleh, perbandingan akan dilakukan. Jika
ada percanggahan dengan peraturan yang ditetapkan, teguran dan arahan
penambahbaikan akan berikan," jelas beliau.
Walaupun ada aktiviti melombong menggunakan
kimia dan teknik peleburan yang mungkin mendatangkan rasa bimbang di kalangan
masyarakat setempat, Yunus memberitahu, aspek keselamatan yang tinggi dalam
industri perlombongan mampu menyerap semua risiko dan kebarangkalian masyarakat
berdepan risiko mungkin amat tipis.
"Kerja melombong mungkin dilihat berbahaya,
namun risiko itu terlebih dahulu 'diserap' oleh lombong itu sendiri sebelum ia
merebak keluar," katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0607&pub=kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2KZwf9tH7
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment