GAMBAR menunjukkan tiga kepingan
emas yang ditemui oleh Muslim dan rakan-rakannya di Pontianak, Indonesia.
PONTIANAK - Seorang lelaki yang cuma
dikenali sebagai Muslim dan dua rakannya menemui kepingan emas selepas dia mendapat
mimpi aneh, lapor sebuah akhbar semalam.
Sejak minggu lalu, rumah lelaki itu
dikunjungi oleh sejumlah tetamu yang mahu melihat sendiri kepingan emas yang
ditemuinya di sebatang parit ketika menggali tanah di Desa Kalimas, Pontianak,
Kalimantan.
Sebelum menemui kepingan emas itu,
Muslim menyatakan dia bermimpi didatangi lapan ular dengan tujuh daripadanya
berjaya dibunuh.
Menurutnya, dalam mimpi itu, seekor
ular lagi dilemparkannya ke luar rumah.
"Saya turut bermimpi diserang
penyengat dan naik sampan besar di sungai di depan rumah saya," katanya.
Rakannya, Rumbaka menyatakan dia
juga bermimpi aneh tetapi menyangka ia merupakan petunjuk untuk membeli nombor
ekor tetapi tidak pernah menang apabila membelinya.
Namun dia menemui kepingan emas yang
bersegi dan berwarna kekuningan ketika menggali parit di tempat Muslim menemui
barangan berharga itu.
Seorang lagi rakan Muslim, Musa
menemui satu kepingan dipercayai emas yang mempunyai wajah Semar iaitu satu
watak dalam wayang kulit Jawa dalam telur berwarna kuning ketika menggali dekat
kawasan sama.
Seorang penduduk, Yani menyatakan
barangan yang mempunyai nilai sejarah kerap ditemui di kawasan itu. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0701&pub=kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm#ixzz2K1yzohMV
Hakcipta terpelihara